Naib Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, jawatankuasa yang dipengerusikan sendiri oleh beliau itu akan memberi fokus terhadap usaha mengurang serta menghapuskan masalah nombor satu negara itu terutamanya dalam kalangan golongan muda.
Menurut beliau, jawatankuasa tersebut akan bermesyuarat bagi membincangkan kaedah serta langkah terbaik yang boleh diambil semua pihak bagi membendung masalah itu dari peringkat akar umbi.
“Sehubungan itu, isu dadah ini akan diberi perhatian serius oleh pihak MCPF dan kita turut menyambut baik sokongan daripada segenap lapisan masyarakat termasuk ibu bapa dalam membantu merealisasikan hasrat murni tersebut.
“Semua pihak termasuk ke­rajaan perlu menjadikan ancaman dadah ini sebagai agenda utama yang mesti diperangi secara habis-habisan agar kita mampu mengurangkan masalah tersebut yang turut menjadi punca kepada jenayah berat lain,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri program MCPF Bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Melaka di sebuah hotel di sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Melaka, Asisten Komisioner Zulkifli Che Wail dan Pengerusi Perhubungan Yayasan Pencegahan Jenayah Melaka, Jason Yow.
Lam Thye berkata, beliau yakin jumlah kes berkaitan dadah di negara ini akan dapat dikurangkan sekiranya masalah tersebut dapat ditangani dari peringkat awal.
“Bagaimanapun, masalah ini tidak akan dapat dihapuskan sepenuhnya oleh kerajaan tanpa komitmen daripada pelbagai pihak, termasuk penglibatan masyarakat tidak kira kaum, bangsa mahupun agama,” tambahnya.
Sementara itu beliau berkata, MCPF kini sedang memberi tumpuan terhadap golongan belia dan remaja termasuk pelajar sekolah bagi program pencegahan jenayah.
“Sehingga kini, MCPF telah berjaya mewujudkan hampir 6,000 kelab pencegahan jenayah di seluruh negara meliputi sekolah rendah dan menengah yang diharap dapat memberi ke­sedaran kepada golongan muda dari peringkat awal,” katanya.